Polis tahan Salim Iskandar
Pempengaruh media sosial pro pembangkang, Salim Iskandar ditahan polis, di Kuala Lumpur, semalam untuk siasatan mengenai hantarannya berkait dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penahanan itu disahkan Salim di akaun rasmi X miliknya.
“Saya telah ditahan polis dan kini sedang dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.
“Teruskan perjuangan rakyat Malaysia!” tulisnya pada platform media sosial itu.
Sementara itu, peguam bela yang mewakili Salim, Rafique Rashid berkata, individu tersebut ditahan pada jam 11 malam (Khamis) dan dijangka direman pagi ini.
“Tangkapan dibuat atas keperluan siasatan merujuk laporan berkenaan ciapan di X berkaitan akuan bersumpah dikaitkan dengan perdana menteri,” ujarnya.