Tiada pemimpin kerajaan perpaduan kaut kekayaan secara haram
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi ketegasan tidak akan bertolak ansur dalam soal rasuah.
Anwar berkata kerajaan pimpinannya akan terus memperjuang aspek tatakelola yang baik dan mengelak rasuah dalam kalangan pimpinan kerajaan.
“Saya mengambil alih kuasa dengan satu mandat dan saya tidak akan bertolak ansur (terhadap rasuah) saya bersyukur setahun ini belum ada satu sanggahan terhadap mana-mana pemimpin yang mengaut kekayaan secara haram.
“Ini satu rekod yang tidak boleh dimungkiri kenyataannya,” katanya dalam Wawancara Khas Setahun bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri, yang disiarkan di TV3, malam tadi
Pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar genap setahun penubuhannya pada 24 November lalu.
Perdana Menteri berkata, sebelum ini beliau melihat gejala rasuah sudah menjadi sistem sehingga pemimpin yang korup dipertahan akibat terlalu taksub.
Tegasnya, tidak mungkin sesebuah negara mampu berkembang jika kemasukan wang secara haram dan memberi kekayaan kepada keluarga dan kroni diteruskan.
“Umpamanya kalau saya ada kuasa, saya beri tanah kepada isteri saya dan kontrak berbillion ringgit kepada menantu, itu dimaafkan tidak jadi isu.
“(Bagaimanapun) saya anggap itu aneh sebab tidak diasuh sebegitu sedangkan wang berbilion ringgit sepatutnya dipindahkan kepada rakyat,” katanya.