
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada sepanjang tempoh fasa peralihan monsun yang dijangka bermula 30 September ini dan berterusan sehingga November depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd Anip, berkata semasa fasa peralihan ini, beberapa negeri akan mengalami tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang boleh menyebabkan pembentukan awan ribut petir.
Katanya, keadaan cuaca ini lazimnya membawa hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh singkat, terutama pada waktu petang dan awal malam di kawasan barat serta pedalaman Semenanjung, barat Sabah dan Sarawak.
“Ia berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang, kepala air serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fasa peralihan ini juga menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 10 Mei lalu.
Dr. Mohd. Hisham mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengikuti ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Met Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mudah alih myCuaca serta media sosial rasmi.





