KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tujuh dron kecil dikesan mengekori misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang dalam pelayaran ke Gaza hari ini.
Menurut seorang daripada peserta GSF, Rahim Azhari, kesemua dron tersebut dipercayai memantau pergerakan mereka dari udara.
Katanya, walaupun tiada insiden tidak diingini berlaku setakat ini, semua peserta kekal berwaspada.
“Kami dapat dengar bunyi beberapa dron, cukup untuk buat bulu roma meremang. Ada yang berlegar tinggi, ada juga yang terbang rendah mengelilingi bot.
“Berdasarkan saiznya yang kecil, ia berkemungkinan besar adalah dron pemantau,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik ke media sosial.
Rahim turut memaklumkan dron sering kali dilihat mengikuti pelayaran mereka, terutama pada waktu malam.
Sehubungan itu, dia menekankan keperluan untuk terus berwaspada, khususnya dengan kebimbangan kemungkinan serangan dari Israel.
“Kita perlu berhati-hati bukan sahaja dengan ancaman dari udara, tetapi juga dengan apa-apa risiko yang mungkin muncul dari perairan sekitar bot kita,” katanya.
Pada malam sebelumnya, GSF mengesahkan mereka tetap akan meneruskan misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, meskipun terdapat laporan yang menyatakan Israel mungkin melancarkan serangan terhadap flotila dalam tempoh 48 jam.
Ahli Jawatankuasa Pemandu GSF, Yasemin Acar, menjelaskan flotila itu akan terus belayar tanpa sebarang henti teknikal, walaupun diserang hebat pada tiga malam lalu.
Menurutnya, flotila berkenaan membawa bekalan kemanusiaan bersama ratusan pemerhati hak asasi manusia, ahli parlimen, peguam serta beberapa tokoh seni, dan tidak mempunyai sebarang elemen bersifat keganasan.
