
KOTA BHARU: Polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak lelaki parah dipukul dengan objek dipercayai tukul di Jalan Pasar Jelawat, Bachok, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Bachok, Mohd Azrie Sulaiman, berkata wanita tersebut yang juga merupakan ibu saudara mangsa berusia tujuh tahun itu ditahan segera selepas kejadian.
Katanya, penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
“Mangsa kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian selepas disahkan mengalami kecederaan serius di kepala akibat hentakan objek tumpul.
Siasatan lanjut mendapati suspek utama dalam kejadian tersebut adalah bapa saudara mangsa berusia 46 tahun yang melarikan diri menggunakan motosikal sebelum ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok ru di Pantai Melawi, Bachok, sekitar pukul 8.30 malam tadi,” katanya.
Menurut Mohd Azrie, siasatan awal menunjukkan lelaki itu menghadapi masalah halusinasi dan mempunyai rekod penyalahgunaan dadah.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan sensitiviti kepada keluarga mangsa.







