NEW YORK – Malaysia menyalurkan lebih RM70 juta (AS$17 juta) bagi membantu rakyat Palestin melalui pelbagai bentuk sokongan kewangan dan kemanusiaan, sejak tahun lalu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu perkara itu ketika berucap pada Mesyuarat Peringkat Menteri bagi menyokong Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), yang diadakan bersempena Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York, Khamis lalu.
Menurut beliau, sumbangan berkenaan disalurkan menerusi Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Malaysia terhadap perjuangan Palestin.
Katanya lagi, Malaysia akan menyalurkan tambahan AS$25 juta (RM105 juta) dalam bentuk bantuan kemanusiaan serta pembinaan semula Gaza sebagai tanda komitmen berterusan negara untuk menyokong rakyat Palestin.
“Kita bersedia bekerjasama dengan PBB dan negara-negara sehaluan dalam usaha kolektif menambah baik bekalan bantuan kemanusiaan, selain menyokong usaha pembinaan semula Gaza pada masa hadapan,” katanya.
Mohamad turut menyampaikan penghargaan Malaysia terhadap usaha gigih dan berterusan yang dilaksanakan UNRWA dalam menyokong pelarian Palestin.
“UNRWA kekal sebagai talian hayat bagi pelarian Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, serta di Jordan, Lubnan dan Syria.
“Malaysia akan terus menyokong mandat UNRWA dalam menyediakan bantuan dan perlindungan kepada pelarian Palestin,” katanya.
Beliau turut menggesa negara-negara anggota PBB supaya menunaikan tanggungjawab dalam menyokong usaha UNRWA, serta memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan penting di Gaza tidak terganggu.
“Malaysia akan terus bekerjasama dengan rakan seperti Jordan dan Mesir, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam hal ini,” kata beliau.
