KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan hasil siasatan terhadap dakwaan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai 20 akaun bank di luar negara, termasuk di Israel, tidak menemui sebarang bukti mahupun keterangan yang boleh mengaitkannya.
Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan pihaknya turut mengambil perhatian terhadap kandungan tular di aplikasi TikTok berkaitan dakwaan tersebut, yang sebelum ini pernah disebut dalam sesi Parlimen pada tahun 2013.
“SPRM ingin menegaskan bahawa siasatan terhadap dakwaan tersebut telah dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1999.
“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang bukti atau keterangan yang boleh mengaitkan beliau dengan kesalahan jenayah rasuah atau salah guna kuasa pada ketika itu,” katanya.
Tambah SPRM, penjelasan mengenai hasil siasatan tersebut turut dinyatakan dalam akuan bersumpah oleh bekas pengarah siasatan BPR ketika itu iaitu Datuk Abdul Razak Idris pada 2009.
Sebagai rekod, pihak WikiLeaks juga menafikan pernah menyiarkan sebarang senarai akaun bank milik Perdana Menteri seperti yang didakwa semasa sidang Parlimen berkenaan.
Berita berkenaan disiarkan di sebuah akhbar tempatan bertajuk “Dah 5 tahun baru Wikileak nafi” bertarikh 5 Oktober 2018.
Sehubungan itu, SPRM ingin mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat atau menjejaskan reputasi mana-mana individu tanpa asas yang sah.
Dalam masa sama SPRM menegaskan, suruhanjaya itu kekal komited untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berintegriti selaras dengan undang-undang negara.
“Penyebaran maklumat tidak sahih boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
