
KUALA NERUS: Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang kos tambahan untuk kerja-kerja membaik pulih runtuhan tebing di Jalan Mengabang Telipot, Kampung Tanjung, Batu Rakit yang berlaku pada Rabu lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Dr Hasli Ibrahim, projek pembinaan tebing sepanjang kira-kira 100 meter beserta penghadang ombak masih dalam proses pembinaan.
Oleh itu, kerja baik pulih akan dijalankan oleh kontraktor tanpa melibatkan peruntukan tambahan.
“Projek pembinaan jalan dan penghadang ombak sepanjang 280 meter yang runtuh akibat fenomena Monsun Timur Laut (MTL) pada akhir tahun lalu dijangka siap pada November ini,” katanya.
Beliau juga menjelaskan laluan tersebut sebenarnya tidak sepatutnya dibuka kepada orang awam kerana tapak masih dalam status kawasan larangan.
Namun, jalan itu dibuka atas budi bicara dan permintaan penduduk tempatan.
Hasli berkata, kerja pemasangan penghadang ombak dan jalan sudah hampir selesai, tetapi penambakan pantai masih sedang dijalankan.
“Runtuhan berlaku ketika ombak kuat melanda semasa kontraktor sedang melaksanakan kerja penambakan pantai.
“Menurut kontrak, kerja penambakan dan pembinaan penghadang ombak sepatutnya siap sepenuhnya pada November, bukannya bulan depan seperti yang didakwa,” katanya.
Kerja-kerja baik pulih termasuk pemasangan penghadang ombak dimulakan semalam oleh kontraktor.
Laluan berkenaan juga akan ditutup sementara bagi memastikan keselamatan sepanjang tempoh projek.
“Penambakan pantai ini bertujuan untuk mengelakkan kejadian gelinciran tebing berulang pada masa hadapan,” jelas beliau.







