
SEPANG : Kerajaan menegaskan kesediaannya untuk mendapatkan bantuan daripada negara sahabat sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini melibatkan 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ketiadaan hubungan diplomatik dengan Israel menjadikan Malaysia bergantung kepada kerjasama negara jiran yang mempunyai saluran hubungan baik, khususnya bagi memastikan keselamatan para sukarelawan terjamin.
“Oleh kerana kita tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, kita akan meminta pertolongan daripada negara berhampiran dan sahabat kita selama ini untuk membantu sedaya mungkin.
“Ia bukan saja untuk 34 rakyat Malaysia yang berada di sana, tetapi juga lebih 500 lagi peserta rombongan apabila sesuatu perlu dilakukan bagi menyelamatkan mereka,” katanya selepas melawat Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Ahmad Sani Araby.
Tambah beliau, kerajaan sedang meneliti langkah terbaik agar semua peserta misi itu dapat dibawa pulang dengan selamat selepas tugasan kemanusiaan tersebut selesai.
“Saya akan menghubungi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang kini berada di New York menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) untuk membincangkan tindakan sewajarnya.
“Saya juga akan berbincang dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai peranan Kementerian Pertahanan, termasuk bentuk bantuan yang boleh dihulurkan.
“Tadi saya turut berbincang dengan Ahmad Sani mengenai persediaan membawa pulang 34 rakyat Malaysia selepas misi ini selesai, dan kita akan perincikan bentuk bantuan akan diberikan nanti, insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada keberanian 34 peserta Malaysia yang dianggap wira dan wirawati kerana sanggup mengharungi pelayaran jauh ke Gaza walaupun berdepan ancaman termasuk dilontar bom melalui dron.
“Syabas kepada semua 34 individu ini kerana mempunyai keberanian luar biasa menghantar bantuan ke Gaza.
“Mereka belayar begitu jauh, menghadapi ancaman dan lontaran bom melalui dron, namun tetap cekal dan kita doakan misi ini tercapai,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat Malaysia bersama-sama berdoa dan berharap masyarakat antarabangsa terus memberi dukungan terhadap misi disertai 45 negara itu.
“Marilah kita berdoa misi ini berjaya. Kita menghargai perubahan luar biasa termasuk tindakan negara yang kini mengiktiraf kewujudan Palestin, antaranya United Kingdom yang selepas 75 tahun akhirnya turut menyatakan sokongan,” katanya.




