
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus susulan keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dalam mesyuaratnya hari ini.
Menurut bank pusat itu, perkembangan terkini menunjukkan ekonomi global terus menunjukkan daya tahan, dipacu pengembangan teknologi dunia yang kukuh, keadaan rantaian bekalan yang semakin pulih serta kestabilan pasaran buruh.
BNM berkata, tekanan inflasi mencatat sedikit penurunan dalam tempoh beberapa bulan lalu, namun dijangka kekal pada paras tinggi susulan kesan kelewatan pemindahan peningkatan kos tenaga kepada harga barangan dan perkhidmatan pengguna.
“Pada masa hadapan, meskipun ketidaktentuan berkaitan konflik Asia Barat akan terus menjejaskan pertumbuhan global di tengah-tengah tekanan inflasi yang berterusan, kesannya dijangka diimbangi oleh perbelanjaan berkaitan teknologi yang mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BNM berkata risiko pertumbuhan global menjadi rendah terus wujud, berpunca daripada ketegangan geopolitik yang berlarutan, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan kebimbangan tentang penilaian dalam pasaran kewangan.
Sementara itu, potensi pertumbuhan menjadi tinggi termasuk perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh, pemulihan keadaan rantaian bekalan yang lebih cepat daripada jangkaan dan langkah-langkah dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju.
Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
Dalam pada itu, BNM berkata ekonomi Malaysia berkembang kukuh sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama 2026 meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.
Pertumbuhan didorong oleh prestasi eksport yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam keadaan permintaan dalam negeri yang mampan, kata bank pusat itu.
“Momentum pertumbuhan yang utuh dijangka menyebabkan pertumbuhan bagi 2026 pada sekitar lima peratus, dan asas-asas ekonomi yang mantap dijangka mengekalkan daya tahan pertumbuhan pada tahun 2027.
“Hal ini akan didorong oleh sektor luaran, yang akan meningkat disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang bertambah baik dan permintaan yang mantap terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta eksport bukan E&E berkaitan teknologi yang terus kukuh dan perbelanjaan pelancong yang berterusan,” katanya.






