
KUALA LUMPUR: Arah kerjasama politik antara parti dalam kerangka Kerajaan Perpaduan dan gagasan Rumah Bangsa dijangka menjadi antara perkara yang mendapat perhatian utama pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 minggu depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kedua-dua isu berkenaan dijangka hangat dibahaskan susulan ia telah dibawa ke peringkat akar umbi, termasuk dalam persidangan cawangan dan bahagian UMNO.
“Dua usul paling popular diterima daripada bahagian kali ini ialah soal hala tuju dan kerjasama politik UMNO khususnya dalam kerangka Kerajaan Perpaduan serta agenda Rumah Bangsa yang digagaskan pada perhimpunan lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas sempena Perhimpunan Agung UMNO di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, kepemimpinan UMNO menyerahkan kepada perwakilan untuk membahaskan secara terbuka hala tuju parti dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk sama ada meneruskan kerjasama atau memilih pendekatan lain pada masa depan.
“Kita terbuka kepada apa juga akan dibahaskan dan diputuskan nanti. Kita tidak pernah dan tidak akan menghalang pembahas menyuarakan perkara itu kerana mereka mewakili akar umbi dan mereka dipilih badan perhubungan negeri masing-masing.
“Cawangan UMNO mengangkat usul ke bahagian dan proses terbabit berlangsung enam bulan lalu. Apa yang dibangkitkan bukan isu individu, tetapi suara akar umbi dari cawangan, bahagian dan negeri. Tidak wajar kepemimpinan mengehadkan apa yang perlu, yang boleh dan tidak boleh,” katanya.
Katanya, perwakilan berhak menyuarakan dan menzahirkan isu terkini yang berbangkit bagi menentukan hala tuju terbaik kepada parti.
Terdahulu, perhimpunan itu bakal berlangsung selama empat hari mulai 9 hingga 12 September di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Seramai 6,401 perwakilan dijadualkan hadir dan parti menerima usul daripada 157 bahagian.






