
PETALING JAYA: Seorang pengguna Facebook dikenali ‘Cecelia Yap Song KL’ memohon maaf berhubung hantaran dalam media sosial dimuat naik berhubung isu ‘ham’ yang didakwa menghina agama Islam, baru-baru ini.
Dia didakwa membuat komen menerusi hantaran Facebook pelawak Harith Iskander yang sebelum itu didakwa berseloroh menyatakan ‘iman tergugat’ apabila beliau mempertimbangkan untuk menikmati ‘Ham Sap Kopi’.
Harith membuat jenaka itu ketika kontroversi sandwic ‘ham & cheese’ yang didakwa tidak mempunyai perakuan halal dengan produk itu dijual kedai serbaneka di Universiti Malaya.
Cecelia Yap menerusi kenyataan dikeluarkan firma guaman mewakilinya Saibullah M.V. Nathan & Co berkata dia memohon maaf kepada umat Islam yang tersinggung dengan hantaran terbabit.
“Saya amat kesal dengan komen saya yang tidak sensitif tersebut telah menyinggung perasaan semua. Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan di masa-masa depan.
“Sekali lagi saya dengan rasa amat rendah diri memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia berkenaan insiden ini.
“Saya menyusun jari dan memohon kepada semua yang tersinggung dengan komen saya tersebut dapat memaafkan kesilapan saya,” katanya yang turut berjanji memberikan kerjasama penuh kepada polis.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan siasatan terhadap Harith dan Cecelia Yap dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.