
KUALA LUMPUR: Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini bakal memainkan peranan besar dalam membawa hala tuju baharu bagi mengukuhkan kedudukan blok serantau sebagai entiti bersatu, progresif, dan relevan di peringkat global.
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS Malaysia), Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata, melalui tema ‘Inklusiviti dan Kelestarian’, Malaysia menumpukan terhadap pertumbuhan ekonomi yang mengutamakan rakyat, selain sensitif terhadap isu alam sekitar.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos baru-baru ini, menegaskan keperluan untuk memperkukuh infrastruktur, menyelaraskan peraturan, dan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan perdagangan intra-ASEAN.
“Pendekatan ini dijangka membuka potensi besar bagi negara-negara anggota selain Malaysia juga berusaha mempertahankan perpaduan serantau ASEAN di tengah-tengah persaingan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Pertikaian di Laut China Selatan menjadi satu daripada isu utama yang akan ditangani Malaysia dengan mengutamakan prinsip undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Undang-Undang Laut PBB 1982 (UNCLOS). Selain itu, Malaysia juga komited menyokong penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN sebagai anggota penuh,” katanya dalam kenyataan.
Konflik di Myanmar juga terus menjadi keutamaan blok ASEAN, dengan Malaysia berusaha memastikan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.
“Malaysia akan terus memujuk junta Myanmar untuk melaksanakan konsensus tersebut. Dialog inklusif amat penting dalam mendekati penyelesaian politik, selain menangani cabaran kemanusiaan yang mendesak,” tambahnya.
Selain itu, Mohd Faiz berkata, Malaysia turut memberi tumpuan kepada transformasi digital serantau melalui Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) serta penubuhan Rangkaian Keselamatan Kecerdasan Buatan (AI) ASEAN.
“Dalam usaha menangani perubahan iklim, Malaysia bercadang mempercepat peralihan tenaga kepada sumber boleh diperbaharui melalui projek seperti ASEAN Power Grid. Sokongan antarabangsa dalam bentuk pembiayaan iklim dan pemindahan teknologi juga diserukan bagi memastikan peralihan tenaga yang adil dan mampan,” ujarnya.
Beliau berkata, dengan lebih 60 peratus populasi ASEAN berumur bawah 35 tahun, Malaysia optimis bahawa blok ini mampu menjadi kuasa ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030. Oleh itu, negara komited melabur dalam modal insan, mengurangkan kemiskinan, serta meningkatkan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan.
“Pendekatan strategik ini menunjukkan keazaman Malaysia untuk memimpin ASEAN ke arah masa depan yang lebih kukuh, bersatu, dan progresif di tengah-tengah cabaran global yang semakin mencabar,” jelasnya.