
PETALING JAYA: Mixue Malaysia membuat permohonan maaf berhubung kebimbangan mengenai pematuhan halal di satu daripada cawangannya yang timbul susulan penggunaan plastik sampah dengan label meragukan.
Rangkaian aiskrim dan minuman itu menjelaskan plastik sampah tersebut, yang dibeli secara dalam talian, datang dalam bungkusan dengan tulisan yang ‘boleh menimbulkan kekeliruan’.
Syarikat itu menegaskan plastik sampah itu digunakan untuk tujuan pelupusan sisa dan tidak terlibat dalam penyediaan makanan.
“Kami mengambil isu ini dengan sangat serius,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Mixue berkata, pihaknya mengambil langkah-langkah untuk menangani perkara tersebut, termasuk memohon proses sertu di cawangan yang terlibat bagi memastikan kebersihan serta pematuhan penuh standard halal.
“Penggunaan plastik sampah yang bermasalah dihentikan, dan prosedur pembelian dikaji semula bagi memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya.
Syarikat itu turut memberi jaminan bahan mentah yang digunakan dalam produknya diperoleh daripada pembekal yang memiliki sijil halal serta memenuhi standard kualiti yang ketat.
Sehubungan itu, Mixue memohon maaf berhubung kekeliruan yang timbul dan berterima kasih terhadap sokongan serta kepercayaan berterusan daripada orang ramai.