
KUALA LUMPUR: Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia mempunyai peluang besar untuk memimpin agenda serantau yang memberi kesan langsung kepada pembangunan belia.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abd Hamid berkata, Perdana Menteri, datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland baru-baru ini menekankan kepentingan teknologi dan inovasi dalam menangani cabaran global.
Katanya, selari dengan aspirasi itu, fokus Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN adalah dalam pertumbuhan ekonomi digital, perdagangan, pelaburan dan perlindungan alam sekitar.
“Kesemua sektor itu boleh memberi peluang kepada penglibatan golongan belia dan melaluinya, negara akan mempunyai pelapis dalam segenap aspek.
“Selain itu, menerusi ASEAN Digital Masterplan 2025 (ADM), negara boleh meningkatkan potensi dalam ekonomi digital, termasuk kemahiran belia dalam teknologi maklumat dan komunikasi.
“Inisiatif ini selaras dengan keperluan pasaran kerja masa kini dengan semi konduktor dan pembangunan perisian terus berkembang,” katanya kepada Ceritera.

Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 turut membuka peluang kepada golongan belia ini untuk didedahkan dengan pelbagai bidang baharu, selain dapat berkongsi kemahiran dan idea dengan negara serantau.
Dalam pada itu, Mohd. Izzat berkata, keupayaan Malaysia dalam bidang semi konduktor dan cadangan membangunkan ‘ASEAN Silicon Valley’ mampu mencipta peluang besar untuk belia menyertai ekosistem digital global.
Beliau berkata, melalui konteks keusahawan, inovasi dan teknologi memberikan platform yang luas untuk belia meneroka sektor ekonomi hijau, blockchain, dan mata wang kripto.
“Dengan adaptasi teknologi baharu, Malaysia berpeluang menjadikan sektor ini sebagai daya penarik kepada belia untuk menjadi peneraju keusahawanan teknologi hijau.
“Idea tentang penubuhan dana seperti ASEAN Green Startup Fund boleh menjadi pemangkin dan sistem sokongan untuk mendorong belia mengemukakan idea-idea inovatif dalam sektor hijau dan lestari,” ujarnya.