
KUALA LUMPUR : Tiga Jawatankuasa Kabinet di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) digabung menjadi Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional dalam menangani pelbagai isu berbangkit.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata Tiga Jawatankuasa Kabinet terlibat ialah Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi, Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Kanak-Kanak.
“Jawatankuasa ini dikenali sebagai Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional yang akan (bermesyuarat) sebanyak tiga kali setahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata ketetapan mengenai penstrukturan tadbir urus tiga Jawatankuasa Kabinet itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet menangani Denggi Bilangan 1/2025 yang dipengerusi beliau hari ini.
Dalam mesyuarat hari ini, Ahmad Zahid berkata KKM merekodkan 122,423 kes demam denggi dan 117 kematian pada 2024, iaitu penurunan kes denggi sebanyak 0.6 peratus dan peningkatan kematian 17.0 peratus berbanding 2023.
“Bilangan kes yang dilaporkan pada awal 2024 melebihi 3,000 kes seminggu. Namun begitu, terdapat perkembangan positif apabila berlaku trend penurunan kes bermula pada Minggu Epidemiologi ke-29 (20 Julai 2024).
“Kini, purata kes mingguan menurun dengan ketara kepada kira-kira 1,200 hingga 1,500 kes sahaja setiap minggu dan berada di bawah paras median lima tahun,” katanya.
Semenatara setakat Minggu Epidemiologi ke-4 (25 Jan 2025), beliau berkata secara kumulatif sebanyak 5,537 kes demam denggi dan tiga kematian telah direkodkan berbanding 14,458 kes dan sembilan kematian pada tempoh yang sama pada 2024.
“Penurunan ini ialah hasil daripada usaha bersepadu pelbagai pihak termasuk kementerian, jabatan, agensi, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat, yang berganding bahu memastikan persekitaran sentiasa bebas daripada tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.