
JOHOR BAHRU: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, hilang kelayakan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan menerbitkan penerbitan menghasut.
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, hukuman denda itu menyebabkan anak guamnya hilang kelayakan sebagai calon pilihan raya selaras dengan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pihak pembelaan menghormati keputusan mahkamah yang tidak mengenakan hukuman penjara terhadap Chegubard.
“Kami memohon supaya dia tidak dipenjara dan Alhamdulillah mahkamah tidak menjatuhkan hukuman tersebut. Namun kami turut memohon agar jumlah denda tidak melebihi RM2,000 kerana denda RM2,000 atau lebih akan menyebabkan seseorang hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya.
“Chegubard sebelum ini diberi amanah oleh Parti Wawasan Negara (WAWASAN) untuk bertanding dalam PRN Negeri Sembilan pada 18 Julai ini. Dengan hukuman denda RM5,000, beliau tidak lagi boleh bertanding. Kami akur dan menghormati keputusan mahkamah,” katanya selepas prosiding di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak pembelaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat kerana yakin mempunyai asas yang kukuh.
Terdahulu, Hakim Rasidah Roslee mengenakan hukuman denda RM5,000 terhadap Chegubard, 48, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan pada akhir kes pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan dia dipenjara selama 20 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Chegubard didakwa menerbitkan penerbitan menghasut menerusi media sosial pukul 6.30 petang pada 26 April lalu.
Hantaran itu didakwa mengaitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; serta dua individu yang didakwa sebagai taikun judi dengan projek kasino di Forest City.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
PRN Negeri Sembilan ke-16 menetapkan hari penamaan calon pada 18 Julai ini, manakala pengundian dijadual berlangsung pada 1 Ogos depan.







