
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berharap pekerja terus mencarum di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana (Lindung 24 Jam) meskipun kerajaan memutuskan skim itu tidak lagi diwajibkan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, skim tersebut diwujudkan bagi memastikan pekerja mendapat perlindungan sepanjang masa, sekali gus menjamin kebajikan dan kelangsungan hidup keluarga sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian di luar waktu bekerja.
Katanya, pekerja perlu memahami kepentingan perlindungan berkenaan, terutama mereka yang menjadi pencari nafkah utama keluarga.
“Hasrat kami adalah supaya pekerja memahami kepentingan perlindungan ini. Fikirkanlah keluarga, anak, isteri dan ibu bapa yang bergantung kepada kita.
“Walaupun kini ia menjadi pilihan, saya berharap pekerja akan terus mencarum demi jaminan masa depan mereka dan keluarga,” katanya pada sidang akhbar di Menara Perkeso di sini hari ini.
Kelmarin, Jemaah Menteri memutuskan caruman Lindung 24 Jam tidak lagi bersifat mandatori, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri membangkitkan maklum balas yang diterima berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja di bawah skim berkenaan.
Menurutnya, keputusan itu bermakna pekerja kini boleh memilih sama ada mahu mencarum atau sebaliknya.
Sebelum ini, lebih sembilan juta pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dilaporkan menerima perlindungan automatik bagi kemalangan bukan bencana kerja menerusi skim tersebut yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan sebelum ini berkata, Lindung 24 Jam diperkenalkan menerusi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bagi memperluaskan jaringan perlindungan sosial kepada pekerja, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.
Di bawah pelaksanaannya, caruman skim itu ditanggung sepenuhnya oleh pekerja pada kadar 0.75 peratus daripada gaji bulanan, manakala majikan bertanggungjawab membuat potongan gaji dan menyalurkan bayaran caruman kepada Perkeso setiap bulan, tertakluk kepada had siling gaji RM6,000.




