
KUALA LUMPUR : Pelakon, Tisha Shamsir, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memasukkan tiga jenis dadah berbahaya ke dalam tubuhnya pada Selasa lalu.
Tisha, 40, yang nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam, didakwa didapati mengambil dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin berdasarkan keputusan ujian air kencing
di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada pukul 7.30 pagi, 7 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, selain dikenakan pengawasan antara dua hingga tiga tahun jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurainna Maryam Norazman, memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Azhar Nik Adib, memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sendiri dan mempunyai pendapatan yang tidak menentu.
Beliau turut memaklumkan tertuduh telah berpisah dengan suami serta menanggung kedua-dua ibu bapanya yang masing-masing berusia dalam lingkungan 70-an.
“Jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh. Tertuduh telah diberikan jaminan polis dan hadir sendiri ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan hari ini dan tiada risiko untuk beliau melarikan diri,” kata peguam itu.
Majistret Khairunissak Hassni membenarkan wanita itu diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 8 Okt ini untuk serahan dokumen.
Tisha yang memakai pelitup muka tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 8.49 pagi dengan diiringi tiga pengawal keselamatan.
Sebelum ini, media melaporkan pelakon wanita membintangi drama kepolisan terkenal ditahan di sebuah pusat hiburan di ibu kota selepas didapati positif dadah.
Seramai 14 individu terdiri daripada penjaga premis, tujuh lelaki dan enam wanita ditahan dalam serbuan menerusi Op Noda pada 7 Julai, lalu.






