
BANTING: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengarahkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang didakwa terbabit dalam kes tikaman di sebuah sekolah di Kuala Langat pada Isnin lalu menjalani penilaian psikiatri di Hospital Bahagia.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.
Remaja berusia 15 tahun itu tidak membuat sebarang pengakuan apabila pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa.
Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.33 pagi dengan menaiki kenderaan polis.
Dia yang berpakaian baju hud dan seluar hitam kemudian dibawa masuk ke bilik mahkamah dengan kawalan tiga anggota polis.
Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja itu didakwa cuba membunuh rakan sekolahnya yang juga berusia 15 tahun menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan, dengan niat mengakibatkan kematian. Perbuatan itu didakwa berlaku di sebuah sekolah pada pukul 9.50 pagi, Isnin lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah menetapkan 11 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal termasuk rakaman percakapan beberapa saksi serta 10 pelajar yang namanya tular dalam media sosial mendapati insiden berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan unsur buli.
Pada Isnin lalu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan suspek ditahan polis selepas dipercayai menikam seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Banting.
Menurut JPN Selangor, mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Banting.






