
PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank sebuah syarikat yang mengandungi kira-kira RM3.4 juta bagi membantu siasatan menerusi Op Sekam, membabitkan permohonan pembiayaan modal kerja perdagangan bernilai RM20 juta yang dipercayai dibuat menggunakan dokumen palsu.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, langkah tersebut diambil selepas siasatan mendapati sebuah syarikat disyaki menyerahkan dokumen yang mengandungi maklumat tidak benar kepada sebuah institusi kewangan untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan berkaitan urusan pembelian padi dan beras.
“Nilai pembekuan akaun bank milik syarikat adalah dianggarkan berjumlah RM3.4 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Tambah Abdul Halim, hasil siasatan awal menunjukkan transaksi pembelian padi dan beras yang dinyatakan dalam dua permohonan pembiayaan berkenaan dipercayai tidak pernah dilaksanakan.
Namun, katanya, siasatan masih berjalan dan SPRM kini sedang meneliti beberapa maklumat serta dokumen tambahan bagi melengkapkan proses siasatan sebelum sebarang tindakan susulan diputuskan.
Menurut Abdul Halim, sehingga kini seramai 10 individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan, manakala beberapa saksi lain dijangka dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Beliau memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, sebagaimana operasi lain yang dilaksanakan SPRM, Op Sekam memfokuskan kepada dua perkara utama iaitu mengesan sebarang unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa, selain menilai kelemahan dari sudut tadbir urus yang berpotensi mewujudkan ruang kepada berlakunya kesalahan.
Pada Selasa lalu, SPRM menahan tiga individu, termasuk dua pengarah sebuah syarikat yang terlibat dalam pengeluaran dan pemprosesan padi serta beras, kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan berkenaan.





