
PUTRAJAYA: Sebanyak 42,848 kes demam denggi direkodkan di seluruh negara setakat Rabu lalu, meningkat 34.8 peratus berbanding 31,790 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, jumlah kematian akibat demam denggi turut meningkat sebanyak 78.9 peratus kepada 34 kes berbanding 19 kes yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2025.
Menurut KKM, analisis epidemiologi mendapati hampir dua pertiga atau 63.5 peratus daripada keseluruhan kes denggi di negara ini tertumpu di Selangor serta Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Katanya, Selangor merekodkan 19,313 kes, meningkat 43.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 7,909 kes, iaitu peningkatan sebanyak 83.8 peratus.
Peningkatan kes turut direkodkan di Johor, Sabah, Negeri Sembilan, Perak, Sarawak, Perlis, Terengganu dan Labuan.
“Keadaan ini menunjukkan Lembah Klang kekal sebagai kawasan tumpuan utama penularan demam denggi dan memerlukan pelaksanaan langkah kawalan yang lebih intensif serta bersepadu.
“Walaupun beberapa negeri menunjukkan penurunan kes berbanding tempoh sama tahun lalu, keadaan ini tidak seharusnya menimbulkan rasa selesa,” menurut kenyataan KKM hari ini.
Sehubungan itu, KKM menyeru orang ramai supaya terus memperkukuh usaha pencegahan denggi dengan memastikan kawasan persekitaran bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes, melaksanakan aktiviti gotong-royong dan pembersihan secara berkala serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala demam denggi.
Menurut kementerian itu, pemantauan terhadap situasi denggi di seluruh negara akan terus dipertingkatkan selain memperhebat langkah pencegahan dan kawalan bagi mengekang penularan penyakit, mengurangkan komplikasi serta mencegah kematian.





