
KUALA LUMPUR: Cuaca panas dan kering dijangka melanda kebanyakan tempat terutamanya di kawasan utara Semenanjung termasuk Perak dan Pahang serta Kelantan bermula bulan ini sehingga Mei.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, negara kini berada pada fasa penghujung Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada pertengahan Mac dan dalam tempoh itu, litupan awan serta taburan hujan akan berkurangan.
“Ketiadaan hujan dalam tempoh yang panjang boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan.
“Situasi cuaca panas dan kering yang dialami pada ketika ini adalah fenomena berulang yang berlaku setiap tahun bermula pada Februari hingga Mei,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Hisham berkata dalam tempoh itu, catatan suhu harian tertinggi boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang.
Katanya, bacaan suhu tertinggi yang dicatat di stesen-stesen jabatan itu seluruh negara semalam adalah 36.1 darjah Celsius yang direkod di FELDA Teloi Kanan, Baling, Kedah.
Gelombang haba dan jerebu setempat juga berpotensi berlaku dalam tempoh berkenaan.
Namun keadaan tersebut diramal tidak seteruk tahun lepas disebabkan pengaruh La Nina lemah yang sedang berlaku sekarang dan dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun ini.
Mohd Hisham berkata, dalam keadaan cuaca panas dan kering, semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan penggunaan air serta mengelakkan pembakaran terbuka serta mengehadkan tempoh berada di kawasan terbuka.
Katanya, MetMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan orang ramai disaran supaya peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.