
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau akan menjawab isu Titah Adendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat sebaik kes itu selesai di mahkamah.
Tegasnya, beliau sebelum ini sudah memberi jaminan akan menjawab isu berkenaan di Parlimen.
“Tak jawab Adendum, saya dah bagitau, nak jawab macam mana, kes mahkamah.
“Selesai kes mahkamah saya jawab, saya nak tengok ketua pembangkang hadir atau tidak.
“Nak lari daripada mana? Kamu boleh jerit banyak mana pun. Saya tahu faktanya, tapi nak suruh singgung kedudukan Raja, saya tak boleh. Dalam hal ini, boleh periksa saya memang (ada) hubungi (Majlis) Raja-Raja,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan sudah memaklumkan tindakan untuk tidak membincangkan isu Titah Adendum adalah selaras dengan prinsip pemisahan kuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, urusan semakan kehakiman dan pengampunan adalah di bawah bidang kuasa mahkamah dan Lembaga Pengampunan masing-masing
Katanya, permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu membenarkan prosiding itu diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Oleh kerana perkara ini masih dalam pertimbangan mahkamah, ia tidak boleh dibincangkan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 23(1)(g).