KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang didakwa menerbitkan kenyataan fitnah mengaitkannya dengan gejala songsang.
Beliau berkata, firma guaman mewakilinya sudah menghantar notis tuntutan kepada individu berkenaan susulan kandungan dimuat naik di Facebook yang disifatkan sebagai palsu, berniat jahat dan mencemarkan reputasinya selaku anggota pentadbiran kerajaan.
“Langkah undang-undang ini diambil bagi mempertahankan kebenaran, melindungi reputasi serta menghentikan penyebaran fitnah yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keyakinan terhadap institusi agama negara,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd. Na’im, video dimuat naik individu terbabit mendakwa menteri-menteri menjadi dalang kepada kegiatan maksiat dan budaya songsang, selain memaparkan petikan berita berkaitan operasi spa songsang yang dikaitkan dengan beliau.
Katanya, perbuatan menyebarkan fitnah merupakan kesalahan undang-undang dan bercanggah dengan tuntutan Islam.
Beliau menjelaskan tindakan undang-undang yang diambil bukan berkait kepentingan peribadi, sebaliknya bagi memastikan platform digital tidak dijadikan medan memanipulasi persepsi atau menyemai kebencian terhadap pihak tertentu.
“Saya menghormati proses undang-undang dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak guaman untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Fokus utama saya kekal terhadap amanah sebagai menteri dalam melaksanakan agenda Malaysia Madani, memperkukuh syiar Islam, memartabat institusi agama dan menjaga kebajikan ummah di seluruh negara,” katanya.
