KUALA LUMPUR: Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencatatkan kadar pengangguran Malaysia pada Oktober 2025 kekal stabil pada tiga peratus dengan jumlah penganggur seramai 518,900 orang.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara terus menunjukkan perkembangan positif berikutan aktiviti ekonomi yang rancak, pertumbuhan pekerjaan kukuh serta kadar pengangguran rendah.
“Tenaga buruh meneruskan momentum peningkatannya, naik sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 17.58 juta orang berbanding 17.54 juta orang pada September.
“Kadar penyertaan tenaga buruh Oktober kekal 70.9 peratus, seperti yang direkodkan pada September 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, bilangan pekerja juga terus bertambah, meningkat 0.2 peratus kepada 17.06 juta orang pada Oktober 2025 daripada 17.03 juta orang pada bulan sebelumnya.
Pada masa sama, Mohd. Uzir berkata, jumlah penganggur meningkat sedikit 0.1 peratus kepada 518,900 orang berbanding 518,600 orang pada September 2025.
“Kategori pekerja yang membentuk 74.8 peratus daripada keseluruhan penduduk bekerja naik 0.1 peratus kepada 12.76 juta orang berbanding 12.74 juta orang pada bulan sebelumnya.
“Bilangan pekerja sendiri juga meningkat 0.4 peratus kepada 3.25 juta orang, berbanding 3.24 juta orang pada September,” tambahnya.
Sementara itu, beliau berkata, jumlah penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu terus menurun sebanyak 1.4 peratus kepada 233,200 orang pada Oktober 2025 berbanding 236,500 orang pada bulan sebelumnya.
“Sehubungan itu, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu serta mampu dan sanggup menerima tambahan jam atau diklasifikasikan sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan masa juga berkurang 1.7 peratus kepada 126,400 orang.
“Ia merekodkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa 0.7 peratus berbanding September 128,600 orang,” katanya.
