
KUALA LUMPUR: Datuk Jafry Ariffin hari ini dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah yang baharu.
Pelantikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah itu yang sebelum ini menyandang jawatan Setiausaha UMNO negeri bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia, Jumaat lalu.
Turut diumumkan adalah pelantikan Datuk Mohd Hasnol Ayub dilantik sebagai Timbalan Pengerusi, manakala Timbalan Ketua UMNO Kalabakan, Samasuddin Yusop, sebagai Setiausaha.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dalam satu kenyataan berkata, pelantikan barisan kepemimpinan baharu itu dipersetujui Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, selaras Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO.
“Pelantikan ini bertujuan memastikan kesinambungan pentadbiran, memperkukuh penyelarasan parti dan menyelaras gerak kerja UMNO di Sabah secara lebih tersusun serta berkesan.
“UMNO meminta seluruh pimpinan dan ahli parti memberi sokongan penuh kepada barisan kepemimpinan baharu ini demi memastikan UMNO dapat terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan mendukung kerajaan negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bung Moktar meninggal dunia pada jam 1.46 pagi Jumaat lalu ketika dirawat di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru.







