
KUALA LUMPUR : Syarikat yang dilantik bagi beberapa urusan pengangkutan tidak akan menjejaskan atau mengambil alih sistem MyJPJ tetapi hanya berperanan sebagai ejen pemungut bagi pihak kerajaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata, peranan syarikat itu serupa dengan agensi lain yang diberi kuasa mengutip bayaran tertentu.
“Mereka hanya bertindak sebagai pemungut. Tiada kaitan dengan MyJPJ… sistem itu tidak akan disentuh, diambil alih atau diganggu oleh Rider Gate,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Ng Keng Heng pada sesi soal jawab lisan dalam persidangan Dewan Negara hari ini.
Tambah Hasbi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan pelbagai inisiatif pendigitalan melalui aplikasi MyJPJ, termasuk pemberitahuan tamat tempoh lesen dan urusan pembaharuan serta pembayaran sama.
Katanya, ia sekali gus meningkatkan ketelusan dan mengurangkan risiko kesilapan secara manual.
Sementara itu, ketika menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin berhubung pendekatan penggunaan teknologi moden dalam menguatkuasakan undang-undang pengangkutan, beliau berkata, penggunaan alat perakam badan (BWC) bagi meningkatkan integriti dan ketelusan penguatkuasaan.
Katanya, JPJ akan meneruskan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) selain cadangan penggunaan High-Speed Weigh-in-Motion (HSWIM) untuk mengesan kesalahan lebih muatan.
Pada masa sama, beliau memberitahu, kementerian turut merancang pembangunan pangkalan data pemandu kenderaan berat bagi membolehkan mereka yang memenuhi syarat keselamatan dilantik oleh syarikat pengendali.
Menjawab kebimbangan berhubung kos perolehan teknologi moden seperti BWC yang mencecah kira-kira RM23,000 seunit, Hasbi berkata harga pasaran bagi peralatan keselamatan dijangka menurun apabila penggunaannya semakin meluas.






