
PHNOM PENH: Konflik sempadan antara Kemboja dan Thailand kembali tegang selepas Phnom Penh menuduh tentera negara itu melepaskan tembakan meriam malam tadi, sekali gus mengorbankan tujuh orang awam serta tiga anggota tentera Thailand.
Kementerian Pertahanan Kemboja mendakwa tembakan meriam Thailand mengenai Jalan Nasional 56 di wilayah Banteay Meanchey selepas tengah malam, mengorbankan dua orang yang melalui kawasan berkenaan.
Jurucakap kementerian, Maly Socheata memaklumkan setakat pagi Selasa, tujuh orang awam terbunuh dan 20 cedera dalam serangan tentera Thailand.
Serangan terbaharu itu turut berlaku pukul 5 pagi di beberapa kawasan sempadan termasuk berhampiran kompleks kuil purba, seperti Kuil Preah Vihear yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Pada Julai lalu, lima hari pertempuran mengorbankan 43 nyawa dan memaksa 300,000 penduduk di kedua-dua negara berpindah sebelum gencatan senjata dicapai.
Thailand dan Kemboja saling menuding jari berhubung pertempuran yang berlaku, dengan Thailand melancarkan serangan udara serta menggerakkan kereta kebal ke kawasan sempadan pada Isnin.
Bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen berkata, negaranya terpaksa membalas selepas dua hari ‘menahan diri’ demi menghormati gencatan senjata dan memberi ruang untuk pemindahan penduduk.
“Terlalu lama kami bersabar lebih 24 jam. Malam tadi dan pagi ini kami terpaksa membalas untuk mempertahankan diri,” kata beliau dalam kenyataan di Facebook.
Pihak berkuasa kedua-dua negara memaklumkan puluhan ribu penduduk sudah dipindahkan sejak pertempuran baharu tercetus pada Ahad.
Di wilayah Surin, Thailand, penduduk tempatan berpindah ke pusat pemindahan, namun sebahagian daripada mereka kembali ke rumah bagi menjaga harta benda.
Tentera Thailand melaporkan tiga anggotanya terbunuh dan 18 cedera sejak Ahad, manakala beberapa peluru meriam Kemboja jatuh di Sa Kaeo tanpa menyebabkan korban.
Sengketa berpanjangan antara dua negara itu berpunca daripada pertikaian peta sempadan era penjajahan Perancis, terutama melibatkan kawasan kuil purba yang dituntut kedua-dua pihak.
Masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia menggesa kedua-dua negara ‘bertenang’ bagi menghentikan persengketaan.






