AYER KEROH: Malaysia menunggu mandat rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum menghantar pasukan pengaman ke Gaza bagi melaksanakan misi keamanan di wilayah bergolak itu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, hasrat tersebut sudah dikemukakan melalui Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan Malaysia sentiasa bersedia menugaskan pasukan pengaman, termasuk satu batalion yang disiapkan khusus bagi operasi antarabangsa.
“Untuk menghantar pasukan ke Gaza, kita turut mengambil kira persetujuan penduduk Palestin selaras dengan pendirian Malaysia yang menekankan penyelesaian komprehensif kerana keamanan di Palestin memerlukan pendekatan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pertanyaan lisan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri, hari ini.
Adly berkata, Malaysia kekal komited terhadap tanggungjawab antarabangsa, dengan 150 anggota Malaysian Battalion (Malbatt) 850-12 kini bertugas dalam misi pengaman di Lubnan sehingga akhir 2026.
Katanya, pasukan pertahanan negara sentiasa bersedia untuk diatur gerak ke mana-mana lokasi yang memerlukan kehadiran pengaman antarabangsa bagi memastikan keamanan dan kestabilan dapat dipulihkan.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar sebelum ini memaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih menunggu arahan rasmi PBB berhubung penghantaran pasukan ke Gaza.
Mohd. Nizam berkata, ATM sudah berada pada tahap kesiapsiagaan sepenuhnya untuk digerakkan sebaik sahaja mandat diberikan oleh badan dunia tersebut.
