
KUALA LUMPUR: Rakan dagang atau pengimport boleh memohon pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi import buah-buahan terus kepada Kementerian Kewangan (MoF).
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan, kemudahan itu selaras dengan layanan di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (ART), dan tertakluk kepada penilaian serta kelulusan MoF mengikut Akta Cukai Jualan 2018.
“Pada masa ini, sebahagian besar buah-buahan segar telah pun diberikan pengecualian cukai secara umum bagi menjamin sekuriti makanan negara,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan tentang sama ada rakan dagang Malaysia di bawah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) atau perjanjian perdagangan bebas (FTA) lain boleh memohon pengecualian SST ke atas import buah-buahan seperti yang diberikan kepada Amerika Syarikat (AS) di bawah perjanjian ART.
Menurut kementerian itu, walaupun Malaysia melaksanakan pelbagai FTA termasuk CPTPP dan RCEP, komitmen tarif negara di bawah FTA berkenaan hanya bertumpu kepada penghapusan atau pengurangan duti import.
“Ia sama sekali tidak menjejaskan hak Malaysia untuk mengenakan cukai serta melaksanakan langkah-langkah dalaman.
“Justeru, kerajaan kekal mempunyai ruang dasar dan fleksibiliti sepenuhnya untuk meneruskan pelaksanaan cukai dalaman seperti SST, duti eksais dan ses termasuk memberi pengecualian di bawah sistem percukaian sedia ada, tanpa terikat dengan kewujudan ART,” katanya.







