
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas susulan gempa bumi 7.5 skala Richter yang melanda timur laut Jepun malam tadi.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo giat memantau keadaan semasa secara rapi bersama pihak berkuasa tempatan.
“Setakat ini, tiada laporan rakyat Malaysia terjejas akibat gempa bumi tersebut.
“Kedutaan berada dalam hubungan rapat dengan pihak berkuasa Jepun dan mengikuti perkembangan terkini,” menurut kenyataan itu.
Gempa berkenaan berlaku pada kedalaman 54 kilometer, kira-kira 80 kilometer dari pesisir wilayah Aomori, sekitar pukul 11.15 malam waktu tempatan.
Satu amaran tsunami turut dikeluarkan sejurus selepas gegaran, namun ditarik balik kemudian.
Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau berada di kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada, menjauhi kawasan pesisir pantai serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan kerajaan Jepun.
Kementerian itu juga menggalakkan rakyat Malaysia mendaftar keberadaan mereka dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan jika diperlukan.
Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di talian +81-3-3476-3840 (pertanyaan umum), +81-80-4322-3366 (kecemasan) atau melalui e-mel consular.tyo@kln.gov.my





