
BEIJING : Sebuah mahkamah di Beijing, China memerintahkan Malaysia Airlines (MAS) membayar pampasan kepada waris lapan penumpang pesawat MH370 yang hilang lebih sedekad lalu.
Mahkamah Rakyat Daerah Chaoyang menjelaskan 47 saman lain telah ditarik balik selepas keluarga terbabit mencapai penyelesaian di luar mahkamah dengan MAS serta anak syarikat antarabangsa mereka, Malaysia Airlines International.
Pampasan yang diputuskan pada Jumaat lalu meliputi kos pengebumian, tekanan emosi dan kerugian lain, dengan setiap keluarga dijangka menerima lebih 2.9 juta yuan (RM1.69 juta).
Daripada 78 kes asal yang difailkan keluarga mangsa selepas insiden MH370, mahkamah di Beijing memaklumkan 23 kes masih belum diputuskan.
Menurut mahkamah, kelewatan itu mungkin disebabkan sesetengah keluarga belum memohon atau melengkapkan proses pengisytiharan kematian secara sah.
Waris lapan penumpang yang menerima pampasan pula mengisytiharkan meninggal dunia secara sah.
Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas pihak berkuasa Malaysia mengumumkan pencarian semula pesawat akan disambung pada akhir Disember, langkah yang disambut baik oleh Kementerian Luar China dan waris mangsa.
Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang itu hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Sehingga hari ini, pesawat MH370 masih belum ditemui.
Daripada keseluruhan penumpang, dua pertiga adalah warganegara China, manakala selebihnya terdiri daripada rakyat Malaysia, Indonesia, Australia, India, Amerika Syarikat, Belanda dan Perancis.






