
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengekalkan struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada dengan beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan kecekapan sistem percukaian.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata pendekatan itu mengekalkan konsep cukai penggunaan secara bersasar, memastikan barangan dan perkhidmatan asas yang digunakan rakyat tidak dikenakan cukai.
“SST merupakan sistem percukaian lebih bersasar dan telah digunakan di Malaysia lebih 40 tahun serta merupakan satu sistem difahami oleh industri, peniaga dan rakyat.
“Pelaksanaan SST juga dapat memberikan impak fiskal yang lebih pantas kepada kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk C. Sivaraj berkenaan pendekatan kerajaan dalam mempertimbangkan pelaksanaan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau penampakbaikan terhadap sistem SST yang lebih sesuai bagi memastikan sistem percukaian negara kekal berdaya tahan.
Hui Ying menambah, kerajaan belum bercadang mengembalikan GST kerana pendapatan rakyat secara umum masih rendah untuk menanggung kesan cukai berskala luas itu.
Beliau memberitahu, meskipun kerajaan mengakui kelebihan GST, pelaksanaannya memerlukan tempoh persediaan sehingga dua tahun bagi membolehkan syarikat mengemas kini sistem masing-masing.
Katanya, kerajaan kini meneliti pelbagai aspek sebelum memilih kaedah percukaian paling sesuai untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara, termasuk struktur percukaian sedia ada, ruang penambahbaikan, keadaan ekonomi semasa, keperluan hasil serta taraf hidup rakyat.




