
KUALA LUMPUR: Pereka grafik dan aktivis kontroversi, Fahmi Reza ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung hantaran dalam media sosial yang didakwa menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Peguamnya, Rajsurian Pillai berkata, Fahmi dipanggil ke Bukit Aman pada pagi tadi untuk dirakam keterangan sebelum ditahan bagi siasatan di bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, telefon bimbit Fahmi turut dirampas bagi tujuan siasatan dan pihaknya kini berusaha mendapatkan jaminan terhadap aktivis berkenaan.
“Fahmi dipanggil untuk memberi keterangan dan kemudiannya ditahan. Telefon bimbitnya dirampas dan kami berusaha mendapatkan jaminan,” katanya.
Terdahulu, Fahmi menerima tekanan selepas lebih 50 laporan polis dibuat terhadapnya susulan catatan yang didakwa menghina TMJ, termasuk laporan oleh lebih 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selain itu, laporan polis turut dibuat oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan belia, pemimpin masyarakat serta Exco Johor, Aznan Tamin dan Khairin-Nisa Ismail.
Fahmi sebelum ini juga pernah dipanggil polis berhubung penggunaan pelekat bergambar tikus dengan perkataan ‘PM’ ketika melakukan penstriman langsung di platform TikTok.







