KUALA LUMPUR: Infrastruktur Malaysia mendapat pujian antarabangsa mendapat pujian susulan gambar konvoi kenderaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melalui lebuh raya di Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pujian meluas terhadap kelancaran, kebersihan dan keindahan infrastruktur negara itu telah ditonton jutaan orang di seluruh dunia, menerusi gambar yang dimuat naik Setiausaha Akhbar Presiden AS.
“Hantaran ringkas itu, yang disaksikan jutaan penonton di seluruh dunia, mengingatkan dunia dan juga kita sendiri, bahawa Malaysia telah membina sesuatu yang luar biasa.
“Ia mengingatkan kita bahawa kerja keras, inovasi dan disiplin kita dalam pembangunan infrastruktur bukanlah tidak diketahui masyarakat antarabangsa. Namun yang lebih penting, ia menjadi dorongan untuk kita terus memperbaiki pencapaian ini.
“Kita berbangga dengan apa yang telah kita capai, tetapi pada masa yang sama, kita juga perlu berani untuk berfikir semula, melakukan pembaharuan dan memperkukuh usaha sedia ada. Ini kerana penyelenggaraan bukan sekadar mengenai jalan raya, tetapi juga melibatkan maruah negara, keselamatan, serta kesiapsiagaan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Konvensyen Penyelenggaraan Jalan Malaysia (MRMC) 2025 dan Ekspo Teknologi Jalan & Trafik MY-ASEAN (My-ARTTE) 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Nanta berkata, rangkaian jalan raya Malaysia kini lebih 260,000 kilometer dan negara boleh berbangga kerana merupakan jalan raya diselenggara paling baik di rantau ASEAN.
“Pencapaian ini dibina hasil komitmen berdekad-dekad oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta syarikat konsesi lebuh raya, berteraskan dasar-dasar berwawasan Kementerian Kerja Raya (KKR),” katanya.
Katanya, kementeriannya telah memperkenalkan MyJalan, sebuah platform penyertaan rakyat pada peringkat nasional yang memberi kuasa kepada orang awam untuk turut sama memastikan jalan raya negara sentiasa dalam keadaan baik.
“Sejak dilancarkan, puluhan ribu aduan telah dilaporkan dan diselesaikan, membuktikan bahawa apabila teknologi digabungkan dengan penglibatan rakyat, kesannya mampu dilihat secara menyeluruh,” katanya.
