KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita mendakwa menjadi mangsa dera suaminya dalam satu insiden di Salak Selatan, Cheras di sini sebelum menyelamatkan diri dengan bantuan ahli keluarga.
Ketua Polis Cheras, Superintendan Aidil Bolhassan, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 5 Disember lalu, kira-kira pukul 12.20 tengah hari.
Menurut laporan polis, mangsa berusia 26 tahun tersebut memberi alasan untuk keluar membuang sampah bagi mengelak terus dipukul, sebelum melarikan diri dengan bantuan abangnya.
“Bagaimanapun, mereka terserempak dengan suami mangsa yang kemudian mengejar mereka sehingga ke Jalan Kampung Pasir Pantai Dalam.
“Suami mangsa didakwa melanggar bahagian belakang kereta abang mangsa sebanyak dua kali sehingga hampir menyebabkan mereka terbabas, namun berjaya menyelamatkan diri melalui Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expessway (SPE),” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
