KUALA LUMPUR: Sehingga 31 Oktober 2025, sebanyak 13.1 juta daripada 16.5 juta rakyat Malaysia, atau hampir 80 peratus populasi, telah menikmati manfaat di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95), dengan jumlah jualan mencecah RM2.66 bilion, bersamaan 1.33 bilion liter petrol.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, pelaksanaan BUDI95 pada bulan pertama menunjukkan perkembangan positif apabila sistem beroperasi lancar tanpa gangguan besar, selain pengguna tidak menghadapi masalah seperti kesesakan atau barisan panjang di stesen minyak.
“Kerajaan akan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan untuk memastikan pelaksanaan sistem RON95 dilaksanakan dengan lebih menyeluruh, inklusif dan berkesan.
“Sebagai contoh, kerajaan telah menambah golongan pengguna bot sungai dalam pangkalan data rakyat yang layak untuk subsidi RON95, malah pemandu e-hailing diberi hak kelayakan tambahan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Hui Ying berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin (PH) berhubung pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol RON95 serta usaha kerajaan memastikan bantuan itu hanya dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Menurut beliau, langkah penyasaran subsidi itu amat penting bagi memastikan tiada kumpulan tercicir daripada menerima manfaat, di samping mengekalkan matlamat utama program, iaitu menyalurkan bantuan secara lebih tepat dan berkesan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
