
KUALA LUMPUR: Hari Arafah merupakan kemuncak buat umat Islam yang menunaikan ibadah haji, menyaksikan para jemaah berhimpuh di Arafah bagi melakukan wukuf.
Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd pada tahun ini menguruskan seramai 537 jemaah bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.
Pegawai Operasi Haji Andalusia, Muhammad Bukhari Mohd Faizal berkata, Arafah kini sudah siap sedia menerima para duyufurrahman.
“1446H dikatakan tahun haji terakhir yang berlaku pada musim panas. Suhu boleh mencecah sehingga 49 darjah Celsius.
“Hampir dua juta jemaah (visa haji sah) sudah memenuhi Mekah. Secara ringkasnya, sesak, panas namun mendebarkan,” katanya ketika dihubungi Ceritera.

Muhammad Bukhari berkata, antara kelebihan Hari Arafah bersama Andalusia yang ditawarkan adalah bimbingan dan ketenangan.
Katanya, pihaknya mempunyai mutawif berpengalaman dan berilmu, demi memastikan kesahihan ibadah dan pengisian rohani.
“Pengalaman lebih 20 tahun dalam industri membuat Andalusia terus diyakini lebih 80,000 jemaah setiap tahun. Arafah bersama Andalusia, hari yang penuh terisi dengan penyucian jiwa.,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Hari Arafah adalah sebaik-baik hari untuk berdoa, yang mana Allah SWT benar-benar mendengar rintihan umat Islam.

“Ia adalah hari pembebasan teramai daripada azab neraka. Hari Allah mengumumkan kesempurnaan agama Islam, begitu juga telah sempurna rukun Islam dengan haji.
“Hari ibadah korban, bukti kepada cinta dan iman. Hari terbaik dalam setahun, yang paling dicintai amal padanya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Andalusia juga menawarkan peluang kepada umat Islam di negara ini untuk menunaikan umrah menerusi cabutan dalam Kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA).

Kempen itu membolehkan para peserta yang berdaftar berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berjumlah RM500,000 termasuk sebuah kereta dan dua motosikal.
Cabutan bertuah itu akan berlangsung selama 52 minggu sehingga 31 Disember 2025 pada setiap hari Jumaat yang disiarkan menerusi siaran langsung bermula pukul 8.30 sehingga 10 malam.







