KUALA LUMPUR: Pasukan Op Haji Terkandas Polis Diraja Malaysia menahan dua individu berhubung tawaran pakej haji percuma yang mengakibatkan sekumpulan jemaah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, berkata dua individu terbabit ditahan pasukan Op Haji Terkandas pada Selasa lalu.
Kedua-dua suspek, masing-masing lelaki dan wanita berusia 36 dan 39 tahun, menggunakan gelaran ‘Datuk’, namun kesahihan anugerah itu masih dalam semakan pihak berkuasa.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu, walaupun tiada kerugian wang dilaporkan kerana pakej ditawarkan secara percuma,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pada Isnin lalu, pasukan petugas Op Haji Terkandas mengesan sekumpulan jemaah di KLIA yang sedang menunggu kehadiran seorang individu bergelar ‘Datuk’ yang didakwa akan menyerahkan visa untuk ke Tanah Suci.
“Bagaimanapun, visa yang dijanjikan tidak pernah diserahkan. Seorang mangsa memaklumkan dia dan isteri menyerahkan pasport antarabangsa kepada dua individu berkenaan.
“Mangsa juga menyatakan bimbang pasport serta maklumat peribadi mereka disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Muhammed Hasbullah, berkata pakej haji itu dikendalikan sebuah agensi pelancongan yang didaftarkan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk musim ini.
“Namun sehingga kelmarin, tiada sebarang pengesahan penerbangan diterima daripada pihak syarikat.
“Setakat ini, tujuh laporan polis diterima berkaitan kes sama, manakala kedua-dua suspek ditahan kelmarin Jun dan direman sehari bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau menegaskan dakwaan media kononnya pasukan petugas menahan 80 jemaah haji yang menggunakan visa pelancong untuk ke Mekah adalah tidak benar dan mengelirukan.
“Tiada tangkapan dilakukan terhadap jemaah terbabit. PDRM hanya menjalankan siasatan berdasarkan laporan yang diterima,” katanya.
