PUTRAJAYA : Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan melaksanakan kuasa dan tugas Ketua Hakim Negara buat sementara waktu, susulan kekosongan jawatan tersebut selepas persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini, pelantikan sementara itu selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan Seksyen 9(1)(b) dan Seksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91).
“Pelaksanaan tugas ini turut merangkumi fungsi Ketua Hakim Negara seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan, dan akan berkuat kuasa sehingga jawatan tersebut diisi secara rasmi,” menurut kenyataan itu.
Menurut Perkara 9(1), sekiranya pada bila-bila masa, disebabkan oleh penyakit, ketiadaan dari Malaysia atau apa-apa sebab lain, Ketua Hakim Negara tidak dapat menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatannya (termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan), atau sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan itu.
Perkara 9(1)(a) pula menyatakan, maka kuasa itu boleh dijalankan dan tugas boleh dilaksanakan oleh Presiden Mahkamah Rayuan (PCA) atau sub-seksyen (b), oleh Hakim Besar Malaya sekiranya PCA tiada di Malaysia atau tidak dapat bertindak, atau sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan itu.
Dalam kenyataan sama, Badan Kehakiman Malaysia menegaskan institusi kehakiman akan terus kekal teguh dalam menjalankan amanah sebagai penjaga keadilan negara dan komited berkhidmat dengan penuh dedikasi demi rakyat dan negara.
Jawatan Ketua Hakim Negara kini kosong berikutan persaraan wajib Tengku Maimun pada Rabu lalu, selepas enam tahun memegang jawatan tertinggi badan kehakiman tersebut. Beliau mencipta sejarah sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2 Mei 2019, menggantikan Tan Sri Richard Malanjum.
