PUTRAJAYA: Kerajaan meneruskan pelaksanaan Program Tarif Elektrik Hijau (GET) bagi tahun 2025 dengan beberapa penambahbaikan penting, termasuk pengenalan pelan langganan baharu dan kadar premium yang lebih rendah.
Program GET yang dilancarkan sejak 2021 bertujuan menawarkan bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada pengguna elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mahu mengurangkan jejak karbon dan memenuhi komitmen Environmental, Social and Governance (ESG).
Sehingga kini, sebanyak 10,500 GWj tenaga elektrik hijau disalurkan kepada lebih 3,551 pengguna, merangkumi pelbagai kategori.
Ekoran penguatkuasaan tarif elektrik baharu mulai 1 Julai 2025, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memutuskan program GET diteruskan dengan prinsip asal serta penambahbaikan sewajarnya.
Pengecualian caj mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) dikekalkan untuk pengguna GET yang sebelum ini tidak dikenakan caj ICPT.
Pengenalan kadar premium tunggal (single-tier) dengan pengurangan sehingga 80 peratus berbanding kadar sebelumnya.
Sebagai respons terhadap permintaan pemilik pusat data, industri dan sektor komersial, PETRA memperkenalkan Program GET Greenpath bermula 1 Ogos 2025, dengan pelanggan perlu mendaftar dan memaklumkan akaun penyewa (tenant account) yang akan menerima sijil REC.
Selain itu, jumlah REC akan sepadan dengan penggunaan elektrik hijau yang dibilkan dan caj pentadbiran dikenakan sebanyak 0.2 sen/kWj.
Pengguna yang ingin memperbaharui atau melanggan program GET boleh berbuat demikian melalui laman sesawang rasmi TNB dan mengunjungi mana-mana Kedai Tenaga TNB berhampiran.
PETRA berharap dengan penambahbaikan ini, lebih banyak syarikat dan industri akan yakin melanggan bekalan elektrik hijau sebagai sebahagian daripada perancangan strategik mereka, sejajar dengan matlamat Malaysia MADANI dalam memelihara alam sekitar untuk generasi kini dan akan datang.
