
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berlakunya rasuah dan penyelewengan dalam proses pemberian tender projek pembinaan MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Siasatan itu dimulakan susulan aduan yang diterima daripada sebuah parti politik berkaitan isu berkenaan.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, memaklumkan siasatan awal dimulakan berdasarkan maklumat yang diterima, manakala Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) turut melancarkan siasatan serentak terhadap perkara tersebut.
“Setakat ini, KPKT telah mengemukakan laporan lengkap mengenai proses serta pemberian tender berkaitan projek MyKiosk. Beberapa pihak lain yang terlibat juga telah menyerahkan dokumen berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan siasatan SPRM akan menumpukan kepada dua aspek utama iaitu sama ada wujud unsur rasuah dan penyelewengan dalam proses tender, serta pemeriksaan terhadap tatakelola keseluruhan projek bagi mengesan sebarang pelanggaran prosedur, peraturan dan sistem yang ditetapkan.
Siasatan dijalankan mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, KPKT menyerahkan dokumen berkaitan projek MyKiosk kepada SPRM secara sukarela sebagai langkah proaktif untuk menunjukkan komitmen kementerian terhadap prinsip ketelusan dan integriti dalam pelaksanaan projek tersebut.
Projek MyKiosk mencuri perhatian ramai selepas didakwa melibatkan kos yang tinggi, sekali gus mencetuskan pertikaian dalam kalangan pelbagai pihak.







