
KUALA TERENGGANU: Lesen jurumudi bot yang terlibat dalam insiden bot penumpang terbalik di Pulau Perhentian Sabtu lalu digantung sementara siasatan penuh dijalankan oleh pihak berkuasa, termasuk berkaitan kes penyalahgunaan dadah.
Timbalan Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Timur, Mohamad Halizam Samsuri berkata, lesen bot tersebut juga dibatalkan memandangkan bot berkenaan mengalami kerosakan yang serius akibat kejadian itu.
Menurutnya, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat punca insiden berkenaan di bawah Seksyen 334 Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Jika hasil siasatan mendapati terdapat pelanggaran undang-undang, tindakan tegas termasuk pembatalan lesen secara kekal akan diambil,” katanya ketika ditemui di Pejabat JLM Terengganu.
Beliau berkata, walaupun lesen bot tersebut masih sah sehingga Mac 2026, pihaknya mengenal pasti beberapa pelanggaran jelas, termasuk beroperasi pada waktu malam dan membawa penumpang melebihi kapasiti.
“Bot kecil dengan panjang 7.9 meter hanya dibenarkan membawa maksimum dua kru dan 10 penumpang. Dalam kes ini, had tersebut telah dilanggar,” katanya.
Kata beliau, berdasarkan maklumat daripada polis, tiada seorang pun penumpang yang memakai jaket keselamatan ketika kejadian. Jurumudi sepatutnya memastikan pematuhan peraturan keselamatan asas seperti ini sebelum berlayar.
Mohamad Halizam berkata, semua pemandu bot dan penumpang perlu sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan di bawah lesen masing-masing.
Katanya, pemeriksaan berkala terhadap bot penumpang sentiasa dilakukan melalui operasi bersepadu bersama agensi lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Pemandu bot perlu menjalani ujian kelayakan sebelum diberikan lesen. Bot pula perlu dilengkapi peralatan keselamatan mencukupi bagi menjamin keselamatan penumpang,” katanya.
Kejadian pukul 10.30 malam pada 29 Jun lalu menyaksikan tiga sekeluarga maut apabila bot penumpang yang mereka naiki terbalik akibat ombak besar ketika dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas makan malam.
Mangsa yang terkorban ialah S Arumugam, 40; anaknya A Sarrvihka, 3; dan seorang anak saudara mereka, V Vennpani, 10.
Dua lagi mangsa dilaporkan cedera, termasuk seorang dalam keadaan kritikal, manakala 10 penumpang lain berjaya diselamatkan.
Kesemua 15 penumpang dalam bot tersebut berusia antara 3 hingga 40 tahun dan mempunyai pertalian keluarga.
Seorang jurumudi bot yang terbabit kini direman selama tiga hari bermula semalam selepas didapati positif dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.






