PUTRAJAYA: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, bertitah Perlembagaan Madinah merupakan asas pemerintahan Islam yang amat signifikan dan wajar dikaji, selaras dengan semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Baginda turut menegaskan penggubalan kedua-dua perlembagaan tersebut memperlihatkan nilai-nilai perpaduan, keadilan, kerjasama antara pelbagai kaum, serta pengiktirafan terhadap kedaulatan undang-undang yang menjadi asas penting dalam pembinaan negara bangsa.
“Senario dan semangat di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah boleh dijadikan kajian perbandingan menarik dengan senario dan semangat yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) Malaysia ke-73 di sini, semalam.
Mesyuarat itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi MKI; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta wakil-wakil agensi agama seluruh negara.
Sultan Nazrin Shah, yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), bertitah Rasulullah SAW tmemperkenalkan dimensi baharu dalam tadbir urus ketika memimpin kota Madinah dengan meletakkan prinsip kedaulatan undang-undang sebagai asas pemerintahan melalui penggubalan Perlembagaan Madinah.
Baginda turut bertitah meskipun umat Islam pada ketika itu merupakan golongan minoriti di Madinah, mereka tetap diberi kepercayaan untuk memerintah berkat kebijaksanaan Rasulullah SAW yang berjaya merangkai kerjasama serta menyatupadukan penduduk daripada pelbagai kaum, puak dan agama.
“Negara Islam pertama di Madinah dibangunkan atas dukungan rakyat pelbagai kaum, puak, kabilah serta pegangan agama yang berlainan.
“Tergubal dalam Perlembagaan berkenaan komponen-komponen kesetiaan, kerjasama, toleransi, hormat-menghormati serta jaminan keadilan dan perlindungan saksama kepada setiap penduduk meskipun berlainan agama, kaum, puak dan kabilah,” titah baginda.
Menyentuh konteks tanah air, Sultan Nazrin bertitah, Perlembagaan Persekutuan yang digubal ketika kemerdekaan turut mengangkat prinsip yang serupa, berpaksikan pemerintahan berperlembagaan, demokrasi berparlimen dan semangat muafakat antara kaum serta agama.
Baginda turut merakamkan penghargaan terhadap keikhlasan dan kepimpinan generasi terdahulu, khususnya Almarhum Tunku Abdul Rahman dan rakan pimpinan seangkatan yang berjaya membina negara bangsa atas asas kepercayaan, integriti dan perpaduan.
Sultan Nazrin bertitah wujud kebimbangan terhadap kecenderungan semasa dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu yang semakin cenderung terjerumus dalam budaya perpecahan, saling memburukkan, serta melemahkan sesama sendiri.
“Kini sumber kekuatan ummah dan bangsa kelihatan semakin diruntuhkan berpunca daripada pelbagai kemungkaran umat Islam dan orang Melayu yang pada ketika ini semakin berlumba-lumba untuk mendedahkan kelemahan sesama sendiri, saling melukis wajah siapa yang lebih hodoh, saling menepuk air di dulang untuk terpercik di muka sendiri.
“Jika keadaan ini berlarutan, umat Islam dan orang Melayu tidak lagi memerlukan musuh dari luar untuk memusnahkan kesucian Islam dan mencemarkan maruah bangsa,” titah baginda.
