
KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal menguatkuasakan larangan sepenuhnya terhadap pengimportan peranti keselamatan palsu dikenali sebagai dummy seatbelt buckle bermula 31 Disember 2025.
Larangan tersebut dinyatakan dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) (No. 2) 2025, yang diwartakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Ia menetapkan semua aksesori berkaitan yang menyahaktifkan sistem keselamatan tali pinggang keledar tidak boleh lagi diimport dari mana-mana negara tanpa pengecualian.
Larangan itu merangkumi peranti seperti dummy buckle, penyahaktif penggera tali pinggang keledar, pemanjang klip tali pinggang, serta sebarang alat lain yang direka untuk dimasukkan ke dalam slot tali pinggang keledar bagi mengelak sistem amaran keselamatan berfungsi.
Semua aksesori ini dikenal pasti sebagai berbahaya kerana ia memintas sistem keselamatan kenderaan, menyebabkan mekanisme tali pinggang keledar gagal beroperasi sebagaimana sepatutnya.
Pada Februari lalu, media melaporkan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenai penjualan dan penggunaan alat dummy buckle membahayakan pengguna jalan raya.
Dalam satu operasi khas sempena Tahun Baharu Cina di Negeri Sembilan, pihak berkuasa mendapati 30 peratus daripada 195 pesalah yang gagal memakai tali pinggang keledar menggunakan dummy buckle untuk mengelak bunyi penggera.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebelum ini mengakui MOT tidak mempunyai kuasa untuk menghalang import alat tersebut, namun menegaskan kerjasama rentas kementerian akan diteruskan bagi memastikan alat berbahaya itu diharamkan sepenuhnya di pasaran tempatan.
Difahamkan, peranti ini dijual secara terbuka termasuk dalam talian dengan harga serendah RM1.99 seunit.
Mana-mana individu yang didapati menggunakan peranti ini boleh dikenakan kompaun sehingga RM300.







