KUALA LUMPUR : Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail mendedahkan kumpulan militan asing, Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB), dikesan aktif menyebarkan fahaman ekstremisme dalam kalangan warga Bangladesh yang masuk ke Malaysia secara sah untuk bekerja, sebelum merekrut mereka ke dalam kegiatan keganasan.
Katanya, kumpulan itu dikenal pasti menyebarkan ideologi kumpulan pengganas Islamic State (IS) kepada komuniti migran, khususnya warga Bangladesh, melalui platform media sosial dan aplikasi pesanan.
Beliau juga berkata Malaysia bukan merupakan sasaran serangan atau lokasi transit bagi kumpulan ini, sebaliknya, hanya menjadi destinasi untuk bekerja dalam sektor buruh seperti kilang, tapak pembinaan dan perkhidmatan.
Beliau turut menjelaskan bahawa sepanjang tempoh berada dan bekerja di negara ini, sebahagian individu terbabit telah terpengaruh dengan fahaman radikal yang dibawa masuk dari negara asal dan juga luar negara.
“Siasatan awal bermula selepas polis mengesan beberapa akaun Facebook aktif menyebarkan propaganda IS. Ia adalah hasil semakan menunjukkan akaun terbabit menggunakan alamat IP dari Malaysia dan dikendalikan oleh warga Bangladesh yang bekerja di negara ini,,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, operasi keselamatan bersepadu dilaksanakan secara berperingkat sejak April lalu yang membawa kepada penahanan enam individu di sekitar Selangor pada 28 April.
“Hasil soal siasat turut mendedahkan kewujudan GMRB yang berpangkalan di Johor. Sehubungan itu, tiga fasa operasi dilaksanakan bermula 28 April lalu.
“Pada 7 Mei lalu, 14 individu termasuk ketua kumpulan itu ditahan di Johor, manakala 16 lagi ditahan antara 19 hingga 21 Jun lalu. Jumlah keseluruhan tangkapan ialah 36 individu,” katanya.
Daripada jumlah itu, Mohamad Khalid berkata, lima individu sudah dituduh mengikut Bab VIA Kanun Keseksaan atas penyertaan dalam organisasi pengganas dan menyebarkan fahaman ekstremis.
“Seramai 15 individu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk diusir, manakala 16 lagi masih dalam tahanan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu ialah merekrut ahli daripada kalangan buruh asing dengan menyasarkan pekerja Bangladesh, melalui pendekatan yang tersusun dan rahsia.
“Mereka menggunakan media sosial untuk menarik penyokong serta menyebarkan fahaman ekstremis, manakala WhatsApp dan Telegram digunakan bagi menyusun kegiatan termasuk sesi ‘taalim’, ‘baiah’ dan perjumpaan tertutup ahli.
“Ahli yang melafazkan ‘baiah’ secara dalam talian akan ditugaskan mengetuai sel baharu di lokasi tertentu bagi memperluaskan gerakan mereka,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan itu juga didapati mengutip dana melalui aplikasi digital seperti Touch ‘n Go dan bKash serta perkhidmatan pemindahan wang antarabangsa untuk menyokong operasi militan di luar negara.
“Kumpulan ini melaksanakan proses perekrutan secara berfasa, bermula dengan saringan keahlian hingga ke peringkat pewujudan struktur yang lengkap,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khalid memberi amaran bahawa penyusupan ideologi ekstremis dalam komuniti migran sukar dikesan dan berisiko menjejaskan imej Malaysia di mata dunia sekiranya tidak ditangani segera.
“Malaysia berisiko menjadi hab logistik serta transit militan asing jika dibiarkan, dan perkara ini mencemar imej negara sebagai destinasi selamat.
“Kami meminta rakyat Malaysia supaya lebih peka terhadap persekitaran dan segera melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa,” katanya.
