
KUALA LUMPUR: Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) meneruskan komitmen memperkukuh tenaga kerja inklusif menerusi penganjuran forum serantau iaitu ASEAN: Empowering Persons with Disabilities, Elevating the Workforce, yang berlangsung di Berjaya Times Square, baru-baru ini.
Forum yang menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri dan aktivis komuniti orang kurang upaya (OKU) itu dianjurkan bersempena Minggu Latihan Kebangsaan (National Training Week – NTW) 2025, sebahagian daripada inisiatif Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Penasihat AYOS 2025, Datuk Wira Shahul Dawood yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Program HRD Corp, Soffian Amin dan Ketua Operasi Wilayah HRD Corp, Hafez Kamaruddin.

Sesi forum itu menampilkan empat ahli panel berpengaruh dalam komuniti OKU yang berkongsi pengalaman serta cabaran mereka dalam dunia pekerjaan.
Antara mesej utama yang diketengahkan ialah pentingnya pendekatan pelbagai sektor dalam mewujudkan ruang pekerjaan yang adil dan setara, bukan sahaja sebagai keperluan moral, malah sebagai kelebihan daya saing ekonomi.
Forum ini turut menampilkan siri pocket talk yang memberi fokus kepada topik seperti keusahawanan OKU, inisiatif PERKESO, dan neurodiversiti di tempat kerja.
HRD Corp dengan kerjasama PERKESO dan MyFutureJobs turut menganjurkan pameran kerjaya dan temu duga terbuka khusus untuk pencari kerja OKU.
Antara syarikat yang mengambil bahagian termasuk AEON Co. (M) Berhad, Hotel Marriott, Bila-Bila Mart, dan Genashtim Sdn Bhd.
Peserta OKU juga berpeluang menyertai tiga sesi latihan percuma yang ditawarkan secara serentak iaitu Latihan CSI (Kognitif dan Gangguan Sosial), Latihan Penulisan Perniagaan dan Program Keusahawanan oleh MyOKU.

Inisiatif ini bertujuan mengubah persepsi masyarakat serta membina persekitaran kerja yang lebih inklusif dan menyokong penyertaan setara.
Sebagai platform utama AYOS 2025, NTW 2025 diperluas ke peringkat ASEAN dengan membuka akses kepada semua warga rantau ini.
Semua kursus ditawarkan secara percuma bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat sejajar dengan tema “Pembelajaran Tanpa Sempadan”.
Walaupun kempen NTW telah berakhir pada 21 Jun lalu, orang ramai masih boleh mengakses pelbagai kursus percuma sepanjang tahun melalui portal rasmi https://www.nationaltrainingweek.gov.my. Untuk maklumat lanjut mengenai AYOS 2025, layari https://aseanyearofskills.org.







