
KUALA TERENGGANU : Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyasarkan penglibatan 10,000 pelajar sekolah menyertai program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) dalam tempoh setahun.
Timbalan Menterinya K.Saraswathy berkata, program kerjasama Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertujuan melahirkan generasi celik sejarah serta budaya ke arah membina perpaduan kaum.
Beliau berkata, pada tahun ini sebanyak 41 muzium di Malaysia terlibat dengan pelaksanaan program IPIM termasuk muzium persekutuan, muzium negeri dan muzium institusi.
“Terdapat lima sesi dalam program IPIM iaitu sesi taklimat oleh pegawai muzium, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP), lawatan ke galeri, aktiviti pengukuhan dan refleksi bagi menguji tahap kefahaman pelajar terhadap sesi yang dijalankan.
“Projek rintis ini sudah dilaksanakan pada 2015 dan pada 2020 terdapat perancangan untuk program ini dilaksanakan secara fizikal, tetapi tertangguh disebabkan penularan Covid-19 dan disambung semula pada 2021.
“Bermula 2021 sehingga 2022 pelaksanaan program IPIM diadakan secara dalam talian melalui portal IPIM yang melibatkan kerja-kerja penerbitan video pengukuhan, penyediaan bahan promosi, hebahan di Rancangan Didiktv KPM, taklimat pelaksanaan IPIM, konfigurasi Pendidikan dan Pembelajaran Maya IPIM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program IPIM Peringkat Kebangsaan 2025 di Muzium Negeri Terengganu.
Kata Saraswathy, program IPIM boleh disertai oleh semua murid tahap dua, pelajar sekolah menengah dan siswa Institut Pendidikan Guru (IPG).
“Program ini membuktikan komitmen Kementerian Perpaduan Negara dan semua muzium yang terlibat untuk memperkasakan fungsi serta peranan institusi permuziuman setaraf dengan praktis muzium lain di dunia dalam menjadikan muzium sebagai platform pendidikan tidak formal,” katanya.





