
SUBANG JAYA: Taylor’s University terus mencipta pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa apabila menduduki tangga ke-253 dalam senarai QS World University Rankings 2026, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai universiti swasta bukan berkaitan kerajaan tertinggi di Asia Tenggara.
Pencapaian ini mengekalkan Taylor’s dalam kelompok satu peratus teratas universiti terbaik dunia.
Dalam kategori reputasi dalam kalangan majikan (employer reputation), Taylor’s turut mencatat pencapaian cemerlang apabila berada di kedudukan ke-92 dunia iaitu tertinggi dalam kalangan universiti swasta di rantau ini.
Ini sejajar dengan dapatan Kajian Pengesanan Graduan 2024 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, yang melaporkan kadar kebolehpasaran graduan Taylor’s mencecah 99.5 peratus, jauh mengatasi purata kebangsaan sebanyak 92.5 peratus.
Taylor’s turut mengekalkan reputasi sebagai universiti pilihan pelajar antarabangsa, dengan berada di ranking ke-34 dunia dalam kategori populasi pelajar antarabangsa, membuktikan daya tarikan global institusi ini.
Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Prof. Barry Winn berkata, institute pengajian itu sentiasa komited membina ekosistem pendidikan bertaraf dunia yang berpaksikan inovasi dan impak sebenar kepada masyarakat.
“Kami bukan sahaja memperkasa pelajar melalui kurikulum yang relevan, tetapi juga melabur dalam pembangunan tenaga akademik, kolaborasi industri, teknologi pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan penyelidikan yang sejajar dengan keutamaan nasional,” katanya.
Taylor’s University terus menonjol sebagai institusi pendidikan yang memacu perubahan, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kurikulum bersifat global tetapi relevan dengan konteks tempatan, selain memperkasa tenaga pengajarnya sebagai mentor, inovator dan ejen perubahan.
Universiti ini juga menekankan pendekatan pembelajaran hibrid yang dinamik, bersesuaian dengan cabaran landskap pekerjaan masa hadapan yang semakin kompleks dan berdaya saing.
Untuk maklumat lanjut mengenai Taylor’s University dan program yang ditawarkan, layari laman web rasmi universiti di https://university.taylors.edu.my.






